TAHAP I
TIMBULNYA GANGGUAN
PETANDA:
- Anda berkata dalam hati, 'persoalan kecil pun hendak dibesarkan.'
- Anda mula rasa terganggu pada sikap atau kata-kata pasangan anda.
- Anda enggan mengungkapkan rasa kesal atau tidak puas hati kepada pasangan.
Ramai pasangan terutama sekali isteri yang sengaja menahan perasaan kecewa atau kesal untuk menghindari konflik. Contohnya memendam rasa tidak puas hati dengan tindakan suami yang asyik mengutamakan rakan berbanding anak-anak dan isteri. Walhal cara itu sebenarnya tidak akan memberi jalan keluar kepada masalah yang dihadapi. Pasangan tidak tahu apa masalah yang dihadapi atau apa yang membuatkan anda tidak puas hati.
Tahap pertama ini sebenarnya paling mudah untuk diatasi kerana ia belum terlalu serius. Langkah awal adalah berterus terang dangan suami dan membicarakannya secara langsung dengan suami. Misalnya menggunakan strategi perbincangan dalam kamar. Ketika berada di atas katil bersama pasangan sebelum tidur, sampaikan isi hati anda. Nyatakan dalam suara yang lembut agar mendapat simpati. Suasana yang santai dan tenang selalunya akan memudahkan konflik terlerai.
TAHAP II
WUJUDNYA RASA MARAH
PETANDA:
- Tidak bernafsu untuk melakukan hubungan intim.
- Merasa tidak dicintai, dihargai, difahami.
- Mula timbul jurang jurang dengan pasangan.
Tahap bahaya ini wujud kerana tanda-tanda tahap pertama tadi diabaikan. Rasa kecewa yang terpendam membuatkan hati rasa marah. Memendam kemarahan bermakna mengekang emosi. Amarah yang sedikit akhirnya akan membuak-buak hingga boleh membibitkan perasaan benci. Ini situasi yang berbahaya, tambah lagi bila anda sudah tiada nafsu untuk bersama dengan pasangan.
Bagi mengatasi tahap ini tiada jalan lain selain mengikis kemarahan itu. Sama ada anda meluahkan rasa pada pasangan sendiri atau anda mencari rakan untuk mendengar masalah dan meredakan tekanan emosi yang ada dalam hati.
TAHAP III
MENJAUHKAN DIRI
PETANDA:
- Tidak lagi bergantung pada pasangan.
- Kehadiran suami/isteri dianggap mengganggu.
- Hubungan emosi dengan pasangan makin pudar.
Pada tahap ini suami-isteri sudah mengabil jalan masing-masing dengan kata lain buat hal sendiri. Luarannya hubungan mereka kelihatan harmoni sedangkan hakikatnya mereka tiada lagi hubungan emosi. Kala ini di khalayak mereka akan berlakon seperti tiada masalah pada hal hati masing-masing sudah menjauh.
Supaya dapat keluar dari ancaman bahaya ketiga ini, maka bantuan pihak ketiga diperlukan. Boleh jadi kenalan rapat, orang tua, mahupun kaunselor perkahwinan. Ajak pasangan berbincang bersama pihak ini dan meluahkan isi hati. Ada kalanya suami atau isteri tidak dapat menerima pandangan pasangan sendiri namun terbuka hati bila mendengarkan nasihat insan kerana rasa hormati pada pihak ketiga.
TAHAP IV
TIDAK LAGI PEDULI
PETANDA:
- Tiada lagi komunikasi.
- Tiada lagi pertengkaran kerana rasa bosan.
Inilah tahap paling berbahaya dalam perkahwinan. Tiada komunikasi bermakna hancurlah rumah tangga. Akan tetapi ada pasangan yang masih boleh menyorok situasi ini daripada diketahui keluarga mahupun kenalan mereka.
Pasangan ini sekali lagi boleh berlakon hingga membuatkan orang lain cemburu melihat kemesraan mereka. Mereka kelihatan tidak pernah bertengkar kerana hakikatnya sudah bosan berbalah.
Akan tetapi sebaik habis lakonan mereka akan terus mendiamkan diri dan membawa haluan masing-masing. Di hati mereka sudah tiada perasaan antara satu sama lain, lantaran perasaan marah dan tidak puas hati mengatasi segalanya.
Tidak mustahil pada tahap ini baik suami mahu pun isteri berasa tiada apa lagi yang harus dipertahankan dalam perkahwinan mereka. Dalam hati sudah memikirkan tentang perpisahan dan penceraian.
Akan tetapi jika anda sudah melewati tahap ini bermakna perkahwinan sudah sampai ke penghujung. Asal ada kemahuan untuk berbaik dan memperbaiki kesalahan maka tetap ada peluang untuk rumah tangga kembali bahagia seperti dulu. Apa yang penting adalah KEHENDAK DAN USAHA anda.